"Ungkapan pemikiran sederhana untuk pembenahan diri"

Sabtu, 17 Juni 2017

Musuh Musuh Yang Menghambat Peradaban Islam


Pembangunan sesebuah tamadun harus melalui proses pembebasan minda dan jiwa. Oleh kerananya, pembangunan manusia perlu mendahului pembangunan material. Kewujudan manusia yang berkualiti ini yang akan menentukan kualiti produk yang dihasilkan. Hanya dengan demikian maka kecemerlangan dan keunggulan menjadi milik sesuatu bangsa dan bangsa lain akan mengikutinya di belakang. Apabila minda dan jiwa bangsa itu kembali beku dan mati maka ia tidak lagi mampu bersaing dengan bangsa lain dan akhirnya akan ketinggalan.

Absolutisme, watak pasrah, kebendaan (hubb al-dunya) dan mitos adalah musuh-musuh utama peradaban sejak wujudnya manusia di muka bumi ini. Kegemilangan tamadun Islam terhenti disebabkan musuh abadi peradaban ini telah menghalang umat Islam untuk menjadi produktif, terbuka dan berdaya maju. Tidak hairanlah al-Qur’an seringkali menyelar pemimpin-pemimpin yang angkuh, absolutis dan autoritarian. Demikianlah pengajaran yang boleh diambil daripada banyaknya kisah Fir’aun yang terdapat dalam al-Qur’an.[4] Kerana misi pembebasan adalah salah satu mesej utama  perlembagaan Tuhan itu. Kajian terhadap sistem politik Islam, khususnya konsep-konsep shuraijma’ (kesepakatan) dan wakalah (perwakilan), menunjukkan bahawa keadilan dan kebebasan adalah ‘benchmark’ pemerintahan Islam dan kezaliman adalah seteru bagi ajaran Islam.

Adapun kebendaan (materialism), yang menjelma sebagai hubb al-dunya (kecintaan terhadap dunia), akan menjadi musibah kepada sesebuah tamadun apabila masyarakatnya tenggelam dalam keseronokan, keselesaan hidup dan mementingkan diri sendiri (selfish). Ibn Khaldun dalam membahas faktor keruntuhan sesebuah tamadun menjelaskan bahawa apabila masyarakat telah terbuai dengan kemewahan, kesombongan dan kemalasan ia kemudian membawa kepada keruntuhan akhlak dan hilangnya perpaduan dan semangat kekitaan (al-‘asabiyyah) maka pada akhirnya semua ini menyebabkan sesebuah tamadun itu berada di ambang kehancuran.[5] Jika analisa Ibn Khaldun berdasarkan kepada tamadun Islam yang telah mencapai kemuncaknya, pada hari ini kita lihat kebendaan menjadi penghalang kepada pembangunan semula peradaban Islam.

Kita perlu mengakui bahawa musuh-musuh peradaban berada dalam diri kita sendiri sebagaimana ia juga dibawa oleh Barat. Budaya ilmu yang menjadi pemangkin peradaban masih lagi tidak diutamakan, dicurigai dan dilihat dengan berhati-hati. Kemunculan tamadun Islam menandakan kemenangan ilmu pengetahuan (knowledge triumphant) seperti yang diakui oleh Franz Rosenthal.[6] Kerananya pembinaan sebuah negara-bangsa hendaknya berdasarkan sepenuhnya kepada ilmu dan bukan political construct (hasil adunan kuasa politik). Dalam sistem Islam, sama dengan yang dikemukakan oleh Roger Bacon (1561-1626), bahawa ilmu adalah kuasa atau ‘knowledge is power[7] dan bukan power is knowledge (yang berkuasa itu berilmu) yang membawa implikasi bahawa para ilmuwan mesti tunduk kepada kuasa politik. Hanya dengan berdaulatnya ilmu, dan bukan budaya takut (the culture of fear), budaya hiburan (hedonisme),  atau kebendaan (materialisme), dalam sesebuah masyarakat maka tamadun akan berkembang dengan pesat. Oleh kerananya tidak dapat diragukan lagi bahawa, seperti diungkapkan oleh Dr Siddiq Fadzil : “kesuburan intelektual sebenarnya banyak ditentukan oleh faktor kualiti kepimpinan dan dasar pemerintahan” dan kematian intelektualisme terjadi akibat daripada pemerintahan absolutis.[8] 

Penjajahan merupakan satu bentuk baru perhambaan. Globalisasi yang dipimpin oleh Amerika bertujuan untuk mengukuhkan hegemoni Barat terhadap dunia. Kedua-duanya mempunyai persamaan kerana masing-masing bersikap absolutis, memaksa ‘yang lain’ (the other) untuk tunduk akan kehendak yang berkuasa. Kebencian dan permusuhan tidak pernah diajarkan oleh Islam. Bahkan tiada agama yang menerima teologi kebencian (theology of hatred). Namun demikian perangkap kebencian ini juga telah memakan kawan dan lawan. Setelah emosi mengatasi akal fikiran kedua-duanya.

Ketidakadilan dan kerosakan yang ditimbulkan oleh tamadun Barat kian nyata. Sejak perang dunia pertama, kedua dan kini ‘global war on terrorism’ kewujudan kuasa-kuasa besar pada hari ini justeru merupakan ancaman kepada keamanan dan keharmonian kehidupan manusia. Permusuhan dan kehancuran yang mengiringinya lebih dikeranakan sikap angkuh manusia dan bukan sesekali kerana perbezaan agama. Ketidakadilan dan kerosakan inilah yang dibenci dan ingin dihapuskan oleh umat Islam dan bukan ‘Barat’nya. Kerosakan ini jika dibiarkan akan mengakibatkan kehancuran tamadun manusia itu sendiri. Manusia perlukan bimbingan Tuhan untuk hidup aman dan damai oleh kerananya umat Islam percaya bahawa Islam adalah satu-satunya solusi yang dapat menyelamatkan peradaban manusia.

Kehancuran dan kepincangan yang dibawa oleh peradaban Barat ini dijelaskan dengan baik oleh Profesor Hitti:
Unfortunately during the last decade or two, in particular, the impact of the West has not been all for the good. There is a striking contrast between the humanitarian ideas professed by Western missionaries, teachers, and preachers, and the disregard of human values by European and American politicians and warriors; disparity between word and deed; and overemphasis on economic and nationalistic values. The behaviour of the so-called advanced nations during the last two wars waged on a scale unknown in history, the ability of Western man to let loose these diabolic forces which are the product of his science and his machine and which now threaten the world with destruction; and , with particular relation to the Near East, the handling of the Palestine problem by America, England, France, and other nations-all these have worked together to disillusion this man of Near East who has been trying to establish an intellectual reproachment with the West.[9]

Musuh-musuh peradaban yang telah dihapuskan oleh Islam, kini kembali lagi dengan kemasan kemodenan. Perhambaan yang telah dihapuskan secara bertahap kini kembali lagi sejak penjajahan berlaku kepada dunia-dunia ketiga dan kini dengan bertopengkan globalisasi. Penjajahan budaya yang jelas-jelas menghapuskan budaya tempatan dan menghakis nilai-nilai kemanusiaan tidak dilihat sebagai dehumanisasi melainkan sebagai kebebasan (liberty). Dengan memahami perbezaan wawasan ketamadunan ini jelaslah bahawa peradaban Barat telah merendahkan nilai manusia dan tidak sama sekali memartabatkan umat manusia seperti yang dilakukan oleh Islam: “The combined forces of atheism, secularism and nihilism seem to be on the ascendancy. It is against this background that the contribution made by Islam fourteen hundred years ago can be seen as representing the manifestation of the Divine Element that somehow will not let man devalue man”.[10]
Kedatangan Islam juga telah menghapuskan mitos daripada kamus pemikiran manusia. Dengan kemunculan Islam di tanah Melayu, penyembahan berhala, kepercayaan kepada animisme dan dinamisme telah terhapuskan dan dunia Melayu mula diterangi oleh cahaya peradaban. Sayangnya kini mitos-mitos kembali bermunculan dengan dictate daripada kuasa besar, dan yang malangnya ramai orang Islam yang  menerimanya tanpa usul periksa. Mitos keganasan Islam, mitos teokrasi negara Islam, mitos ketidakadilan hukum Islam, mitos keunggulan peradaban Barat dan yang tidak kurang tragisnya mitos kerendahan bangsa sendiri, diyakini sebagai sesuatu yang semula jadi.

Share:

0 komentar:

Posting Komentar

Arsip Situs

Online now

Show Post

Blog Archive